Sayangnya Aku Seorang Manusia Andai aku kuda semberani akan ku bawamu jelajah sumbu pelangi di mana kegelapan dan bayang-bayang diwarnai tujuh cahaya Kau tidak perlu menggigil ketakutan lagi hantu-hantumu telah lama mati dipanah sinar gemilang Andai aku pergata dilayar akan ku hanyutkanmu ke hujung dunia di mana ikan-ikan melompat riang berderai tawa dan duyung-duyung mendendangkan lagu ceria Kau tidak perlu menahan ombak sengsara lagi lautan sudah hilang punca untuk turut berang di hati Andai aku seekor walimana akan ku terbangkanmu ke taman nan indah di mana bunga-bunga kembang di tangkai dan kumbang-kumbang kekenyangan madu senantiasa melimpah-ruah Kau tidak perlu mengurut bisa di kakimu lagi duri-duri sudah lama tumpul dipancung tanjaknya Sayangnya aku seorang manusia hanya mampu menghulurkanmu secebis harapan bahawa suratan ada neracanya pahit dan manis ada gilirannya