Doaku Subuh Ini DOAKU subuh ini lebih mudah dari doa sudah sudah KepadaNya kupinta agar suria bersinar cerah dari fajar ke hujung asar Doaku subuh ini moga hujan turun sepanjang malam agar unggas bisa berlagu sepanjang siang dan katak/kodok bersimfoni merdu mendodoi lenaku Jika siang terang benderang dan malam hujan bertandang alangkah meriah seisi buana... Tidakkah kau senangi siulan reriang di siang hari senandung cengkerik di dinihari Nyanyian satwa satwa bagiku penawar lara tapi namanya manusia suara gagak dan lalak anjing sering membuat aku ingin melempar selipar ke arah haiwan kelas dua ini Begitupun aku sedar, anugerah tak ternilai Tuhan beri, kerap kita ambil mudah bersyukurlah diri kerana telinga masih mendengar! mata masih melihat! mulut masih bersuara! dan nadi masih berdenyut... Justru, jika hujan turun di tengah hari dan burung-burung tidak menyanyi aku tak perlu bersedih lagi Irama hujan, melodi katak, sorak serak gagak lalak teriak anjing geladak, semuanya aku sambut dengan penuh keinsafan, betapa setiap kurnia Tuhan mudah sungguh kita lupakan Dan detik ini aku berdoa agar Tuhan panjangkan tarikh luput pendengaranku, penglihatanku pernafasanku, agar aku dapat terus menikmati nikmat mendengar, nikmat melihat nikmat berkata, nikmat bertakat Biar hujan turun di tengahari dan burung terhenti bernyanyi aku tak lagi berasa sunyi setelah kuinsafi erti mensyukuri. KUMBANG COKLAT Seekor kumbang coklat, sebesar butang baju terbang rendah dekatku lalu terlanggar teko dan jatuh telentang atas meja makanku Sang kumbang malang, terkial-kial cuba bangkit kakinya menendang langit kepalanya terjungkat-jungkit badannya berpusing-pusing persis sebiji gasing Mungkin badannya sakit mungkin sayapnya luka tapi semangatnya tegar ingin segera bangkit dan terbang semula Sedetik kemudian, usahanya berhasil lalu terbang tinggi dan terus menghilang ditelan jendela malam Dari pengalamannya sang kumbang mengajarku agar segera bangkit dan terbang semula walau jatuh ditimpa bata. TAKWA Kata para umarak kita mesti tingkatkan ekonomi kerana kejayaan sesuatu bangsa diukur pada pendapatan per kapita rakyatnya Kata para budayawan dalam mengejar kemajuan warisan seni seperti tarian, lakonan lukisan, nyanyian dan lain-lain mesti dilestarikan Kata para ulama penekanan atas dunia dan hiburan bukan caranya membina ummah tapi ilmu rabbani bersalut istiqamah itulah budaya murni sebenar Kata para nabi yang mulia di sisi Allah hanya mereka yang bertakwa bukan yang mewah tapi ingkar Kataku Garuk kepala tanya minda! ANDAIKATA Andaikata ada yang mendakwa di tapak Taj Mahal lahirnya Sri Dewa mungkinkah Taj Mahal rebah ke bumi seperti halnya Masjid Babri? Andaikata semua rakyat di negara terlibat merestui visi 'diktator' yang ditakuti Barat mungkin tidak berlaku pengeboman massa yang membekukan cita-cita suatu bangsa Andaikata sengsara Bosnia dan senasibnya mendapat secebis simpati 'polis dunia' nescaya kemelut yang berlarutan telah lama dihuraikan Andaikata Muslim Rohingya memiliki kuasa ekonomi di Myanmar, mungkin tidak perlu menjadi pelarian, bahkan makmur seperti minoriti di Tanjung Harapan Andaikata Palestin muncul di peta dunia Kashmir, Moro dan lainnya berjaya bina negara mungkinkah berakhir segala sengketa atau terus-terusan berebut kuasa? Andaikata ummah mengambil iktibar menghapus hasad, mengukuh ukhuwah Islam pasti berdiri gagah dan tak kan lemah atau goyah walau digugat pelbagai diayah.